Saturday, June 12, 2010
Semenjak kecil, kita disajikan dengan kisah-kisah dongeng ber-intikan pengajaran seperti Pak Pandir, kisah buaya dengan rusa, si kura-kura dengan arnab dan banyak lagi. Kisah Pak Pandir adalah kisah yang paling saya gemari dan kisah ini jugalah menjadi punca saya menulis artikel ini. Tak perlulah saya terangkan lagi kebodohan insan yang bernama Pak Pandir ini. Kita semua tahu yang kebodohan dan kelembapannya sangat melampau sebagai seorang manusia.
Akan tetapi, saya juga merasakan bahawa kebodohan itu bukan setakat ada pada diri Pak Pandir, bahkan ada juga pada remaja-remaja di negara ini pada zaman sekarang. Pak Pandir bodoh kerana itu adalah sifat semula-jadinya. Tidak seperti segelintir remaja-remaja dinegara kita ini, sudah tahu benda itu salah dan terlarang, tetapi masih juga mahu melakukannya. Sebagai contoh, pengambilan dadah seperti ecstacy, kokain dan seks bebas. Bukannya tidak dihebahkan atau diberitahu tentang bahaya dan kesannya, tetapi remaja-remaja ini masih tidak takut tentang bahayanya seakan-akan mempunyai 9 nyawa seperti seekor kucing! Dari apa yang saya dengar dan saya dapat melalui internet, tujuan remaja-remaja yang mengambil dadah ini adalah kerana ingin mendapatkan keseronokan, rasa puas yang melampau tanpa memikirkan kesan-kesan atau akibat pengambilan dadah itu seperti yang mereka sendiri ketahui. Ingin saya kongsikan serba sedikit kesan buruk pengambilan dadah ini.
Kesan pengambilan ecstacy :- mati kerana kegagalan sistem pernafasan, sawan, rasa murung dan bimbang, pertuturan sukar difahami, kekacauan emosi, kecenderungan untuk membunuh diri.
Mungkin mereka tidak tahu bahawa keseronokkan yang mereka perolehi itu ialah palsu semata mata. Ini adalah kerana kesan daripada pil dan bahan-bahan terlarang itu yang mengawal fungsi otak dan saraf mereka untuk menjadi gembira dan sangat seronok. Keseronokkan yang melampau ini juga menyebabkan berlakunya seks bebas dan ini menyebabkan kes atau gejala buang bayi semakin meningkat di negara ini. Saya tinggalkan anda disini untuk memikirkan apakah punca semua ini berlaku.
Pada pendapat anda, Pak Pandir atau remaja- remaja ini yang bodoh? Renung-renungkan dan selamat beramal! ;)

0 comments:
Post a Comment